GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad

PEMILIK syarikat swasta kerugian RM181,050.09 selepas terpedaya dengan sindiket penjualan mata wang Chinese Yuan Renminbi (CNY).

Difahamkan, lelaki berusia 42 tahun itu ada meminta kenalannya mencari ejen yang menjual mata wang berkenaan memandangkan mangsa dia memerlukannya bagi urusan pembelian bahan mentah perniagaan dari syarikat berpangkalan di China.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa kemudian berurusan dengan ejen melalui panggilan telefon dan meminta pekerja syarikat supaya membuat pemindahan wang ke akaun bank tempatan yang diberikan.

"Pekerja mangsa memindahkan RM181,050.09 ke akaun bank sebuah syarikat dan seterusnya menghubungi majikannya untuk memaklumkan transaksi berjaya dilakukan.

"Selepas itu, mangsa menghubungi ejen untuk pengesahan bayaran, namun gagal dihubungi hingga sedar dirinya ditipu lalu meminta pekerjanya membuat laporan polis semalam," katanya dalam kenyataan di Kepala Batas, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut bagi mengenalpasti sindiket berkenaan giat dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan tawaran jual beli mata wang asing melalui ejen tidak dikenali dan seharusnya berurusan dengan pihak mempunyai lesen untuk menjalankan urus niaga terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 8:12 PM