Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Wang simpanan seorang wanita sebanyak RM181,986.26 lesap selepas menjadi mangsa penipuan Scammer yang mendakwa mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram dan sindiket di Sabah.

Kejadian berlaku apabila wanita berusia 60 tahun yang masih bujang itu menerima panggilan daripada seorang individu pada 29 Jun lalu yang mendakwa dari syarikat insuran.

Individu terbabit memaklumkan mangsa terbabit dalam penggubahan wang haram dan sindiket terbabit dan panggilan itu disambungkan kepada polis.

Mangsa kemudian dimaklumkan akan dibantu untuk kes itu perlu berhubung dengan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang akan membantunya.

Bagaimanapun wanita yang mengaku TPR itu kemudian meminta mangsa membuat penukaran kad mesin juruwang automatik (ATM) ke Bank Islam serta mendaftar nombor telefon yang akan diberi olehnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, mangsa kemudian mengikut arahan wanita terbabit dan mendaftar nombor telefon yang diberi oleh suspek pada nombor kad ATM Bank Islam barunya itu.

"Bagaimanapun, mangsa mengesyaki sesuatu mencurigakan selepas dihubungi lagi oleh suspek yang bertanyakan sama ada mangsa mempunyai akaun bank lain.

"Disebabkan itu, mangsa kemudian membuat semakan penyata di Bank Islam di Jitra dan mendapati terdapat pengurangan wang pada akaun simpannya dan mengesyaki dia ditipu.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat lapan transaksi pengeluaran wang melalui akaun Bank Islam miliknya dipindahkan ke tiga akaun bank individu yang tidak dikenali pada 3 dan 4 Julai lalu," katanya hari ini.

Chien berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jitra semalam untuk memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 5:17 PM