Omar Ahmad


SIMPANG RENGGAM: Sejak tujuh tahun lalu Mohd Faizal Khamis, 37, yang hanya mengharapkan kerusi roda untuk bergerak meraih pendapatan lumayan hasil jualan ikan laga atau nama saintifiknya Betta.

Bukan itu saja, malah orang kurang upaya (OKU) genius itu juga menghasilkan makanan untuk anak ikan laga.

"Bekalan makanan ini sukar diperoleh dan sering kehabisan stok.

MOHD Faizal memeriksa ikan yang dipelihara sambil diperhatikan kakaknya, Rose.
MOHD Faizal memeriksa ikan yang dipelihara sambil diperhatikan kakaknya, Rose.

"Atas dasar itu, saya berusaha menternak kutu air atau moina.

"Moina adalah makanan berprotin serta paling berkhasiat untuk anak ikan laga," katanya ditemui di kediamannya di Jalan haji Amir di sini.

Menurut Mohd Faizal, dia sudah dua bulan berusaha menternak moina.

"Alhamdulillah, ada tanda kejayaan. Sekiranya usaha ini berjaya, saya akan komersialkan moina ini seterusnya menambah cabang perniagaan.

"Apabila anak ikan laga diberi makan moina, ia akan lebih sihat dan dalam tempoh sebulan, anak ikan laga ini boleh dikomersialkan berbanding sebulan setengah hingga dua bulan untuk tempoh tumbesaran biasa," katanya.

Mohd Faizal dilahirkan normal namun ketika berusia 11 tahun, dia diserang penyakit saraf menyebabkan bahagian pinggang ke bawah lumpuh serta mengerekot.

Mohd Faizal juga pemegang sijil baik pulih televisyen dan radio di Pusat Latihan Pemulihan & Perindustrian (PLPP) di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Berkaitan ternakan ikan laganya, Mohd Faizal berkata, dia mula berjinak-jinak mengumpul ikan berkenaan kerana minat sebelum koleksinya bertambah besar.

 MOHD Faizal menerangkan keistimewaan ikan laga kepada pelanggannya.
MOHD Faizal menerangkan keistimewaan ikan laga kepada pelanggannya.

"Saya bermula dengan ikan gapi sebelum memilih ikan laga kerana permintaan terhadapnya lebih luas.

"Pelanggan pula bukan sahaja orang tempatan malah luar negara termasuk Singapura," katanya.

Menurut Mohd Faizal, dia turut dibantu ibunya, Mon Omar, 77, dan kakak, Rose, 45.

Katanya, bukan mudah bagi OKU sepertinya menjalankan perniagaan berkenaan namun tiada yang mustahil jika berminat selain bersemangat.

Menurut anak bongsu daripada 12 beradik ini, dia pernah menjual 10,000 ikan laga kepada pemborong yang datang ke rumahnya.

ANTARA ikan laga yang diternak Mohd Faizal.
ANTARA ikan laga yang diternak Mohd Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:05 AM