Nurul Husna Mahmud


SEPERTI menghasilkan satu karya lukisan. Itu gambaran mengenai kepuasan yang dirasai peminat ikan laga atau Betta Fish, Nasir Isa, 50, apabila berjaya membiak spesies haiwan berkenaan dalam koleksinya.

Kata Nasir, orang yang memelihara ikan hiasan memiliki pelbagai tujuan. Dia tertarik disebabkan keletah 'agresif' dan 'pakej' rupa ikan itu yang pelbagai warna serta corak.

"Seronoknya bermain ikan laga seperti kita melukis. Spesies ikan laga yang moden atau hibrid ini mempunyai pelbagai warna. Boleh sasarkan bentuk dan corak diinginkan pada anak ikan yang akan datang.

"Contohnya, jika mahu ikan laga dengan warna merah dan tompok putih, kita cari baka induk yang banyak warna merah serta kahwinkan dengan pasangan yang sama.

"Maka hasilnya anak baka merah dan tompok putih seperti spesies Fancy Hellboy atau Fancy Redbase.

"Kalau saya hasilkan corak atau tompok yang besar bagi spesies 'candy,' saya akan buat pemilihan baka induk yang mempunyai ciri-ciri itu supaya dapat 'batch' anak-anak ikan laga dengan tompok yang besar," katanya.

Kata Nasir lagi, pembiak ikan laga itu sendiri mempunyai teknik tertentu kerana spesiesnya agresif dan mampu mencederakan pasangannya.

 HELLBOY spesies yang menjadi buruan peminat ikan laga bagi menyertai pertandingan.
HELLBOY spesies yang menjadi buruan peminat ikan laga bagi menyertai pertandingan.

"Dalam usaha membiak spesies ikan laga, ada teknik tertentu. Biasanya saya akan lakukan 'pembiakan' pada spesies sama kerana itu etika penting dalam memelihara ekosistem.

"Saya pernah sekali cuba buat 'cross breeding' antara spesies moden dan spesies ikan laga liar (wild betta) tetapi hasilnya tidak memuaskan. Saya terpaksa pelihara sendiri atau dijual pada harga yang rendah untuk dibeli peminat ikan.

"Penting untuk pembiak baka tidak lakukan 'cross breeding' kerana itu dikhuatiri menyebabkan ada anak ikan yang cacat. Paling penting bagi yang pelihara ikan laga untuk tidak sewenang-wenangnya lepaskan ikan hibrid atau ikan hasil pembiakan sedemikian kerana boleh jejaskan ekosistem.

"Cara terbaik sehinggalah ikan terbabit mati secara semula jadi dan ditanam berbanding dilepaskan ke sumber air. Itu pengetahuan perlu ada bagi setiap individu yang memelihara ikan," katanya.

Bagi pemilihan induk juga, biasanya Nasir akan memilih baka berusia lima bulan ke atas untuk dibiak dan bergantung kepada permintaan serta trend peminat ikan laga ketika itu.

NASIR ketika menaburkan palet bagi ikan kesayangannya.
NASIR ketika menaburkan palet bagi ikan kesayangannya.

"Cara pembiakan ikan pula, saya akan letakkan induk dalam satu bekas. Ikan betina akan dikurung sementara atau dipisahkan dalam satu ruang yang boleh ikan jantan nampak.

"Apabila ikan jantan dilepaskan bebas dalam bekas yang sama mula mengeluarkan buih, itu menandakan ikan jantan sudah sukakan pasangannya. Barulah angkat penghalang yang mengurung ikan betina tadi.

"Biasanya proses ini berlaku selama tiga hari dan telur mula menetas perlu diasingkan bagi mengelak dimakan ikan induk," katanya.

Mengenai perbezaan spesies yang ada kata Nasir, ikan laga terbahagi kepada dua iaitu spesies liar seperti alien, mahacai, imbellis dan guitar smaragdina.

KELUARGA menyokong penuh minat Nasir pelihara ikan laga yang kini turut menjadi pendapatan utama.
KELUARGA menyokong penuh minat Nasir pelihara ikan laga yang kini turut menjadi pendapatan utama.

Manakala bagi spesies moden pula membabitkan avatar, black galaxy, blue rim, nemo, koi, samurai, tancho dan banyak lagi. Semua itu mempunyai peminat tersendiri.

"Seperti saya katakan setiap orang ada sebab tersendiri memelihara ikan ini. Ada yang bela untuk pertandingan seperti Bangkok Fighter.

"Bukan pertandingan laga ikan seperti dulu sebaliknya format pertandingan laga ikan sekarang berbeza. Ikan dinilai agresif berdasarkan jumlah pagutan pada satu jenis alat plastik.

"Ada juga bela ikan untuk cantikkan rumah selain tujuan terapi. Satu kes membabitkan seorang pemilik ikan ini seorang perempuan yang menggunakan ikan laga untuk bantu dia tidur," katanya.

CERMIN kecil menjadi alat untuk Nasir ‘bermain’ dengan ikan laga peliharaannya.
CERMIN kecil menjadi alat untuk Nasir ‘bermain’ dengan ikan laga peliharaannya.

Berkongsi pengalaman mencabar membela ikan berkenaan, kata Nasir, ikan laga meskipun tahan lasak apabila mampu bertahan sehingga tiga minggu dalam air yang sama, ia masih ada kelemahan dan penyakit.

"Seperti ikan lain, penyakit ikan laga turut dikaitkan dengan kualiti air. Jika PH air terjejas dan kandungan ammonia tinggi, ikan akan sakit serta mati.

"Ikan laga yang sakit biasanya tidak akan aktif berenang dan kerap berada di dasar bekas air. Kalau tidak dirawat atau ditukar ia boleh mati.

"Pengalaman saya ketika awal bela dahulu memang tidak tahu cara yang betul menyebabkan ikan laga mati. Tidak sampai seminggu sudah mati.

ANAK ikan laga pelbagai spesies yang berjaya dibiak Nasir.
ANAK ikan laga pelbagai spesies yang berjaya dibiak Nasir.

"Isteri saya, Ruziana Makhragi, 50, sampai larang saya bawa ikan lagi ketika itu kerana rasa kasihan apabila terlalu banyak ikan peliharaan kami yang mati," katanya.

Dalam banyak-banyak ikan laga, spesies Half Moon paling sukar dijaga kerana saiz ekornya yang panjang menyebabkan haiwan itu gemar menggigit ekor sendiri apabila stres.

"Kalau orang baru bela ikan laga, mereka memang minat dengan spesies Half Moon kerana ekornya kembang dan nampak cantik.

"Tetapi spesies ini gemar gigit ekor dan akhirnya akan mati kerana penyakit. Saya sendiri hanya mampu pelihara ikan itu selama lapan bulan sebelum memutuskan untuk pelihara spesies lain," katanya yang turut bersyukur kerana mendapat sokongan penuh isteri dan anak-anak yang mempunyai minat serta membantu menguruskan ikan peliharaannya.

"Ikan laga ini ada musim dan permintaan mencanak-canak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama fasa pertama apabila orang berada di rumah serta mencari hobi baru.

MENGGUNAKAN tapis kecil bagi menangkap ikan.
MENGGUNAKAN tapis kecil bagi menangkap ikan.

"Meskipun kerja hakiki saya terjejas iaitu sebagai pemandu van sekolah yang tidak dapat beroperasi sehinggalah ke hari ini, alhamdulillah hobi bela ikan laga ini menjadi rezeki utama saya sekarang.

"Isteri dan anak-anak juga yang banyak membantu menukar air dan memberi makan ikan laga saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 6:20 AM
ANTARA spesies ikan laga liar (wild betta) yang paling diminati Nasir, Alien.
ANTARA spesies ikan laga liar (wild betta) yang paling diminati Nasir, Alien.