ANTARA ikan yang dibiakkan.
ANTARA ikan yang dibiakkan.
Muhamaad Razis Ismail

Tidak dinafikan ramai yang terjejas apabila hilang sumber pendapatan berikutan pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak tahun lalu.

Dalam keadaan yang semakin menekan ini, ramai yang mula mencungkil kreatif dengan menjadikan hobi untuk menjana pendapatan.

Antaranya, menerusi hobi menternak ikan laga, anda mampu menjana pendapatan lumayan.

Pemilik Prestige Betta Colony, Rizam Zakariya berkata, di negara kita ikan laga mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminatnya.

Katanya, kini ramai yang memanfaatkan platform di media sosial untuk menjalankan perniagaan ikan laga secara dalam talian berikutan mendapat permintaan sangat tinggi.

"Kebanyakan daripada mereka bermula sekadar hobi sebelum menjadikan penternak ikan laga sebagai pekerjaan sepenuh masa atau sambilan.

"Tidak hairan ada dalam kalangan mereka mampu meraih pendapatan sehingga lima angka pada setiap bulan," katanya ketika dihubungi.

PASTIKAN pasangan bersesuaian untuk pembiakan.
PASTIKAN pasangan bersesuaian untuk pembiakan.

Bagaimanapun, perlu diingat menjadi penternak tidak boleh disamakan seperti hobi.

Rizam berkata, seseorang itu perlu mempertimbangkan beberapa perkara untuk menjadi penternak ikan laga yang berjaya.

Dia berkongsi tujuh tip untuk menjadi penternak ikan laga berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya.

1. Ukur sejauh mana tahap minat terhadap ikan laga

Minat memainkan peranan utama untuk kita terus maju dalam bidang yang diceburi. Ia dapat mendorong kita untuk terus berusaha dan tidak kenal erti putus asa mencari jalan penyelesaian ketika berdepan sebarang masalah.

2. Pengetahuan terhadap ikan laga

Pengetahuan asas mengenai ikan laga termasuk sejarah, asal usul, varian dan genetik adalah penting untuk menjadi penternak. Perkara asas ini penting supaya tidak tersalah langkah sehingga menimbulkan masalah besar di kemudian hari.

Apabila berurus niaga dengan pelanggan, kita mampu menjawab segala persoalan ditimbulkan, sekali gus dapat tingkatkan keyakinan mereka.

PASTIKAN ikan mempunyai nilai tinggi di pasaran.
PASTIKAN ikan mempunyai nilai tinggi di pasaran.

3. Komitmen pengurusan masa

Perlu diingat sebagai penternak ikan laga anda memerlukan komitmen masa yang lebih berbanding hobi. Ikan laga memerlukan penjagaan yang konsisten dan teliti termasuk penukaran air, pemberian makanan dan sebagainya. Keadaan ini berkemungkinan menyebabkan masa bersama keluarga dan aktiviti lain menjadi terhad.

4. Tinjau pasaran semasa ikan laga

Penternak ikan laga perlu meninjau dan mengkaji trend pasaran ikan laga yang mendapat permintaan tinggi. Dapatan kajian ini, boleh digunakan untuk membiak ikan yang sesuai sebelum boleh dijual pada harga munasabah dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang.

Penternak tidak boleh 'syok' sendiri kerana boleh berdepan kerugian pada masa hadapan apabila ikan yang diternak tidak mendapat permintaan, sekali gus mengakibatkan harga merudum.

5. Kuasai teknik pembiakan ikan yang betul

Kini, maklumat boleh diperoleh di hujung jari kerana hampir semua boleh diperoleh di internet. Penternak boleh dapatkan maklumat daripada pelbagai sumber sama ada dari dalam dan luar negara mengikut kesesuaian.

IKAN dewasa ditempatkan di bekas berasingan sebelum dijual.
IKAN dewasa ditempatkan di bekas berasingan sebelum dijual.

6. Tinjau teknik pasarkan ikan laga

Sebelum ini ikan laga dijual di pasar dan kedai, namun kini kaedah itu dilihat sudah tidak sesuai berikutan penularan pandemik Covid-19. Ramai yang sudah beralih berniaga secara dalam talian yang lebih mudah, murah dan selamat. Kaedah ini bukan sahaja memudahkan penjual, malah pelanggan juga diberi banyak pilihan tanpa perlu keluar rumah.

7. Jangan berhenti untuk terus timba ilmu dari pelbagai sumber

Kita boleh dapatkan maklumat daripada laman sosial dan laman web. Sekiranya mempunyai masa, boleh berhubung dan bertemu penternak lebih berpengalaman. Industri ikan laga ini sentiasa berubah terutama daripada segi genetik. Oleh itu, penternak perlu sentiasa lengkapkan diri dengan ilmu baharu supaya tidak ketinggalan jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:30 AM