SULAIMAN (berdiri tiga kiri) dan Mohd Ali (empat kiri) menunaikan solat Isyak di Masjid Al-Azim sempena sambutan Maal Hijrah 1442 Hijrah peringkat negeri, malam tadi. FOTO Nazri Abu Bakar
SULAIMAN (berdiri tiga kiri) dan Mohd Ali (empat kiri) menunaikan solat Isyak di Masjid Al-Azim sempena sambutan Maal Hijrah 1442 Hijrah peringkat negeri, malam tadi. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


SERAMAI 300 jemaah menghadiri majlis kesyukuran sempena sambutan Maal Hijrah 1442 Hijrah peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Azim , Bukit Palah, Melaka, malam tadi.

Pada program dihadiri Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam serta Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali itu, jemaah turut menunaikan solat mengikut norma baharu.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1441 Hijrah oleh Imam Besar Masjid Al-Azim, Datuk Mohamad Hashim Al Hafiz sebelum dia mengimamkan solat Maghrib dan disusuli bacaan doa awal tahun 1442 Hijrah.

Seterusnya, beliau turut mengetuai bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa kesyukuran.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman serta Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Sambutan kali ini jelas berbeza daripada tahun sebelumnya apabila jemaah menunaikan solat mengikut norma baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Malah, masing -masing perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 4:14 PM