Che Sukri menyerahkan bantuan pek makanan kepada Rahmad Mariman untuk diagihkan kepada golongan asnaf dalam DUN Ayer Molek, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Che Sukri menyerahkan bantuan pek makanan kepada Rahmad Mariman untuk diagihkan kepada golongan asnaf dalam DUN Ayer Molek, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) mengatur beberapa aktiviti sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri secara dalam talian bermula petang ini.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, penganjuran menerusi kaedah terbabit sebagai usaha memeriahkan sambutan tahun baharu hijrah tahun ini meskipun berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, beberapa program membabitkan penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan serta asnaf dan cenderahati akan dilaksanakan secara fizikal dengan jumlah kehadiran terhad seperti disyaratkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita mahu tahun baharu Islam ini tetap disambut walaupun secara dalam talian dan kami jangka, kaedah yang dilaksanakan ini akan mendapat sambutan kerana ia lebih memudahkan orang ramai mengakses pautan untuk menyaksikan aktiviti yang kami anjurkan ini.

"Selain menerusi laman Facebook (FB) Jaim, mereka juga boleh melayari laman FB MKN, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)," katanya selepas menyerahkan sumbangan 300 pek daging dan kit makanan Tabung Musa'adah Covid-19 di Ayer Molek, di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, sambutan peringkat negeri bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti itu dimulakan, hari ini dengan program penyerahan bantuan makanan kepada golongan Orang Asli, asnaf dan golongan terjejas akibat Covid-19 di beberapa lokasi di negeri ini.

Katanya, ia disusuli dengan majlis bacaan doa akhir tahun dan awal tahun serta doa kesyukuran setahun pelantikan Tun Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka secara atas talian bermula jam 6.30 petang ini.

Beliau berkata, majlis penyampaian cenderahati kepada Bayi Maal Hijrah juga akan diadakan kira-kira jam 9 pagi esok di Hospital Melaka, diikuti Forum Maal Hijrah secara atas talian jam 10 pagi bertajuk Secarik Bulu Ayam, Senipis Kulit Bawang yang menampilkan ahli panel iaitu pelakon, Adam Corie; pendakwah, Elyas Ismail dan Ketua Nazir Masjid dan Surau Melaka, Hairul Amin Madon.

"Jam 9 malam pula akan diadakan Bicara Hijrah bertajuk Mimpu Yang Pulang dengan ahli panel terdiri daripada Youtuber, Hazeman Huzir; pejuang kepulihan, Omar Manan dan wakil Pertubuhan Islah Movement, Zahid Zainuddin," katanya.

Program diteruskan pada Rabu jam 9 malam dengan program Sembang Santai Hijrah bertajuk Terlangkah Tidak Terulang dengan ahli panel terdiri daripada Perunding motivasi, Abd Ghani Yusof; artis dan ikon usahawan, Fizo Omar serta pengacara tv, Akhtar Sahari.

Dua program atas talian akan diadakan pada Khamis ini iaitu Bicara Bersama Mufti menampikan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dan Pegawai Hal Ehwal Islam JAIM, Murad Ahmat sebagai moderator pada jam 10 pagi serta Bicara Bersama Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim yang akan berlangsung jam 11 pagi.

Majlis bacaan Yasin mingguan secara dalam talian akan diteruskan pada Jumaat ini jam 9 pagi, diikuti Bicara Keluarga bertajuk Nikmat Dicari Atau Kasih Dikongsi dengan menampilkan bekas artis, Akil Hayy; perunding motivasi, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamed dan Hakim Mahkamah Syariah, Abdul Razak Md Nayan pada jam 9 malam.

Sempena sambutan 10 Muharam pula, Jaim turut mengadakan aktiviti Santuni Mahabah Anak Yatim di beberapa lokasi terpilih.

Orang ramai boleh Bahagian Pengurusan Dakwah Jaim di talian 06-3333333 sambungan 5629 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara sempena sambutan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 4:58 PM