MOHAMAD Hashim (tengah) bersama Abdul Halim (empat dari kiri) mengtahnik bayi sempena sambutan Maal Hijrah di Hospital Melaka bersama. Turut hadir isteri Ketua Menteri, Dalilah Awaludin (dua dari kanan). FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
MOHAMAD Hashim (tengah) bersama Abdul Halim (empat dari kiri) mengtahnik bayi sempena sambutan Maal Hijrah di Hospital Melaka bersama. Turut hadir isteri Ketua Menteri, Dalilah Awaludin (dua dari kanan). FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Nur Saliawati Salberi


“AGAK risau apabila bayi tidak dilahirkan walaupun sudah melepasi tarikh sepatutnya. Ternyata ada hikmah di sebaliknya apabila puteri saya memilih untuk dilahirkan pada tarikh penuh bermakna untuk umat Islam iaitu Maal Hijrah,” kata Nur Af’idah Yazed, 31.

Bayi perempuan Nur Af’idah antara 15 bayi diraikan dan ditahnik di Hospital Melaka sempena sambutan Maal Hijrah, hari ini.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, sepatutnya bayinya dijangka lahir pada 24 Ogos lalu namun tiada sebarang tanda kelahiran.

“Cadangan asal nak bersalin di kampung di Kulai, Johor tetapi bersyukur apabila anak selamat dilahirkan di sini kira-kira jam 11.54 malam tadi,” katanya.

Terdahulu, semua bayi termasuk lima bayi lelaki yang dilahirkan semalam sehingga pagi ini ditahnikkan beberapa tokoh agama termasuk Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dan Imam Besar Masjid al-Azim, Datuk Mohamad Hashim.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat dan Pengarah Hospital Melaka Dr Hatijah Mohd Tan.

Bagi Ramnah Ibrahim, 32, kehadiran bayi lelakinya bagaikan hadiah berganda buat dirinya apabila bukan sahaja dilahirkan pada Hari Kebangsaan, malah pada Maal Hijrah.

“Walaupun ini anak kelapan saya tetapi perasaan kali ini agak berlainan kerana tidak semua berpeluang merasainya.

“Harapan kelak supaya anak saya mempunyai budi pekerti baik dan menjadi anak soleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:48 PM