FOTO Hiasan. FOTO Arkib NSTP
FOTO Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


MAJLIS Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M berlangsung 1 September ini di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sambutan kali ini diberi tema ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ bermaksud Islam adalah agama rahmah yang mengajak manusia saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan serta bersifat belas kasihan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, majlis sambutan akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Beliau berkata, turut dijadualkan hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa serta barisan menteri Kabinet.

“Kemuncak bagi majlis sambutan Maal Hijrah ini adalah

penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M.

“Pada tahun ini, Jawatankuasa Induk bersetuju menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada tokoh ilmuan dan pemikir tersohor tanah air manakala tokoh antarabangsa juga akan turut dianugerahkan tahun ini.

“Kriteria tokoh dipilih adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas, mempunyai sifat dan peribadi unggul serta memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan syiar Islam. “Tokoh juga memberi sumbangan besar dalam pembangunan ummah selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat dalam dan luar negara,” katanya.

Katanya, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa akan menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia.

Selain itu, katanya, tokoh itu akan diundang menyampaikan syarahan dalam 1st International Forum on Islamic Thought (1st I-FIT) : Revitalizing Maqasid Syariah Towards Compassionate Governance pada 3 September ini di Putrajaya.

Mohamad Nordin berkata, sempena majlis sambutan Ma’al Hijrah itu, JAKIM akan menganjurkan Program Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah 1441H secara langsung di Studio RTM Angkasapuri pada 6 petang serta Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun secara lintas langsung di Masjid Negara oleh Imam Besar Masjid Negara.

“Seterusnya akan diadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat,” katanya.

Katanya, majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah manakala Radio Nasional FM dan Web TV JAKIM juga akan turut membuat liputan secara langsung.

Selain itu, beberapa radio RTM juga akan membuat lintas langsung iaitu Salam FM (BM), KL FM (BM), Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 5:45 PM