KEADAAN van polis yang melanggar penghadang konkrit menyebabkan dua anggota polis dan seorang tahanan cedera. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN van polis yang melanggar penghadang konkrit menyebabkan dua anggota polis dan seorang tahanan cedera. FOTO ihsan pembaca.
Amirul Aiman Hamsuddin


GARA-GARA mengelak 'manhole' di tengah jalan, dua anggota polis dan seorang tahanan cedera apabila van dinaiki mereka melanggar penghadang jalan konkrit di Kilometer 74 Jalan Klang-Teluk Intan di Sekinchan, Sabak Bernam, hari ini.

Dalam kejadian 2.15 petang itu, pemandu van Kia Pregio berusia 25 tahun patah jari kaki kiri manakala rakannya berusia 27 tahun cedera ringan pada lutut, siku kanan dan dahi.

Selain itu, tahanan lelaki berusia 30 tahun pula luka di bawah kelopak mata.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, semua mangsa dalam perjalanan dari arah Penjara Sungai Buloh menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

"Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai hendak mengelak 'manhole' yang dalam keadaan terbuka dan kemudian melanggar penghadang jalan konkrit.

"Berikutan kemalangan itu, semua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk menerima rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 5:40 PM