Keadaan motosikal Kawasaki ER650E ditunggang lelaki berusia 24 tahun yang parah selepas terbabit kemalangan di Kilometer 71 Jalan Klang-Teluk Intan, berhadapan sebuah stesen minyak, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan motosikal Kawasaki ER650E ditunggang lelaki berusia 24 tahun yang parah selepas terbabit kemalangan di Kilometer 71 Jalan Klang-Teluk Intan, berhadapan sebuah stesen minyak, semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Tindakan pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mengubah haluan secara mendadak untuk memasuki stesen minyak menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi tercampak sejurus merempuh kenderaan itu.

Dalam kejadian jam 5.15 petang semalam, mangsa gagal mengelak dan melanggar bahagian belakang SUV itu di Kilometer 71, Jalan Klang-Teluk Intan di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati SUV Hyundai Tucson itu dipandu dari Tanjong Karang menuju ke Bagan Datuk, Perak.

"Manakala mangsa berusia 24 tahun menunggang motosikal Kawasaki ER650E dari arah sama.

"Setibanya di lokasi, pemandu SUV berusia 26 tahun itu dipercayai mengubah laluan ke kiri untuk memasuki kawasan stesen minyak.

"Mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang Hyundai Tucson itu," katanya.

Lim berkata, akibat kemalangan itu penunggang motosikal cedera pada kepala serta tangan kiri dan kanan.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 5:31 PM