KEADAAN treler yang remuk di bahagian hadapan selepas merempuh bahagian belakang kanan sebuah lori dan pagar hadapan sebuah restoran di Kilometer 73 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jalan Tali Air. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN treler yang remuk di bahagian hadapan selepas merempuh bahagian belakang kanan sebuah lori dan pagar hadapan sebuah restoran di Kilometer 73 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jalan Tali Air. FOTO Ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Gara-gara mengelak anjing melintas, dua lelaki cedera ringan apabila lori dipandu mangsa terbabit kemalangan di Kilometer 73 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jalan Tali Air 5, di sini.

Dalam kemalangan 7 pagi tadi, pemandu treler berusia 24 tahun berasal dari Langkap, Perak, luka pada kaki dan bengkak di muka.

Manakala pemandu lori berusia 53 tahun pula hanya lebam di dada.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, ketika kejadian pemandu treler dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Klang.

"Setibanya di lokasi, seekor anjing melintas mendadak menyebabkan pemandu treler itu cuba mengelak lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

"Pada masa sama, mangsa melanggar bahagian belakang kanan lori yang diletakkan di bahu jalan sebelum merempuh pagar hadapan sebuah restoran," katanya.

Agus Salim berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Mangsa dapat dikeluarkan kira-kira 10 minit kemudian dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 7:15 PM