Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Lubnan, susulan kejadian letupan di Beirut yang mengorbankan lebih 100 nyawa dan ribuan lagi cedera.

Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya'kub dalam ucapan pembukaannya memberitahu, rakyat Kelantan secara keseluruhannya berdoa semoga Lubnan kembali pulih dalam waktu terdekat.

Dalam ucapan yang sama, Abdullah turut mengingatkan ahli dewan supaya sentiasa menjaga diri dan berwaspada dengan pandemik Covid-19 dan mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita perlu patuh pada SOP kementerian bagi memastikan kita dapat memutuskan rangkaian itu dan kita berdoa supaya negeri dan negara kita diselamatkan dari sebarang musibah," katanya.

Persidangan kali ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Pada 13 April lalu, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hanya berlangsung selama 45 minit sahaja susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 11:55 AM