Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Mohd Amar yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu mengangkat sumpah sebagai Speaker Dun baharu menggantikan Datuk Abdullah Ya'kub pada persidangan Dun Kelantan hari ini.

"Saya Mohd Amar yang dilantik sebagai Speaker atas sifat saya dalam jawatan demikian, saya bersumpah dengan setianya akan menunaikan kewajipan dengan sedaya upaya saya.

"Saya akan bertaat setia dengan negeri Kelantan dan saya akan pertahan negeri Kelantan. Saya juga akan taat setia kepada Sultan Kelantan dan waris gantinya menurut undang-undang," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin mencadangkan Mohd Amar sebagai Speaker dan cadangan itu disokong oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Yakub.

Pada masa sama, Adun Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi daripada Bersatu dilantik sebagai Timbalan Speaker Dun Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 10:53 AM