GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menafikan dakwaan ahlinya memberontak mahu menyertai parti Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang dilaporkan sebuah portal.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, semua 26 ketua bahagian masih bersama dan pihaknya menjangkakan kira-kira lima peratus yang akan mengikut parti mantan Perdana Menteri ketujuh itu.

Katanya, Bersatu Johor terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Mohd Salleh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik menyokong sebaliknya.

"Mengenai penubuhan parti Tun (Dr Mahathir) kita menghormati demokrasi dan tiada satu pun dalam perlembagaan undang-undang yang menghalang seseorang individu menubuhkan parti. Ini adalah amalan demokrasi yang berlaku di Malaysia.

"Kita faham Tun pun ada pengikutnya sendiri. Maklumlah dia seorang negarawan yang berkhidmat selama 22 tahun, dia ada sokongannya sendiri.

"Kalau ada sokongan pun, tidak sampai lima peratus yang ikut. Di Johor, adalah terkawal. 26 ketua bahagian masih bersama," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Khas Dun di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya akur arahan daripada kerajaan pusat, selain beliau mempunyai tanggungjawab ke atas 26 bahagian untuk terus menyokong bagi mengukuhkan kedudukan parti.

"Kita tidak nampak secara jelas di mana parti ini (parti baharu) akan duduk di gabungan mana. Kalau dia independent dia tidak kuat. Mungkin akan ke arah kerajaan sedia ada Perikatan Nasional atau lebih pro pembangkang PH.

"Saya fikirkan kalau dia berdiri sendiri sebagai sebuah parti, tidak mungkin akan menang pilihan raya sebab amat sukar," katanya.

Semalam, sebuah portal melaporkan kepimpinan Bersatu Johor dikatakan panas dengan pemberontakan dalam kalangan ahli.

Portal itu turut melaporkan walaupun parti baharu berkenaan masih belum mempunyai nama lagi, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu memaklumkan berminat menyertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 2:33 PM