MOHD Shafie pada majlis di tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
MOHD Shafie pada majlis di tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersedia menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) turut mengalu-alukan penubuhan parti baharu itu selain menyatakan kesediannya untuk menjalinkan perikatan bersama bekas pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

"Kita (WARISAN) tiada masalah dengan kewujudan parti baharu Tun Mahathir kerana sebelum ini pun memang sudah wujud kerjasama.

"Takkanlah semasa Tun menjadi perdana menteri kita boleh menjalinkan kerjasama tetapi semasa dia tiada sebarang jawatan kita pula tidak mahu berkerjasama. Saya fikir sikap sedemikian bukanlah suatu nilai yang baik.

"Asalkan landasan perjuangan sesebuah parti politik itu selaras dengan aspirasi rakyat dan dasar-dasar perjuangan WARISAN, maka kita tiada masalah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lot Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Tanjung Batu Otentik dan Penyerahan Geran Tanah di daerah Tawau dan Kalabakan di Tawau, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew; Ahli Parlimen Kalabakan, Ma'amun Sulaiman; dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Amrullah Kamal.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kerajaan negeri pimpinannya sebelum ini sudah membuktikan kemampuan menjalinkan bekerjasama dengan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Semalam, Tun Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang berasaskan perjuangan membela melayu selain optimis boleh menjadi blok penentu kepada kemenangan PN dan PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penggunaan logo ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau berkata, perkara itu bukan satu isu kerana yakin dengan penilaian rakyat Sabah yang memilih wakil mereka bukan berdasarkan logo yang digunakan.

"Rakyat Sabah bukan memandang logo parti semata-mata, sebaliknya memilih wakil rakyat daripada parti yang dekat dengan hati mereka," katanya.

Berita berkaitan:

  • Malasku nak komen - Abang Johari
  • Adun Jeram umum keluar Bersatu, sertai parti baharu
  • Mukhriz presiden, 3 Adun Selangor sokong parti baharu: Tun M
  • Calon parti baharu akan bertanding PRK Slim: Tun M
  • Tun M tubuh parti baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 2:37 PM