(DARI kiri) Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Amiruddin dan Maszlee. FOTO arkib NSTP
(DARI kiri) Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Amiruddin dan Maszlee. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bermesyuarat malam tadi mengesahkan bahawa keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat ahli parlimen yang lain terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu dan tafsiran berhubung perkara itu adalah muktamad.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat juga mengesahkan bahawa keputusan untuk parti keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sudah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Februari 2020 dan pengumuman rasmi yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari adalah sah dan teratur.

Katanya, MPT juga mengesahkan bahawa keputusan memuktamadkan penyertaan Bersatu dalam gabungan parti politik baru yang membentuk kerajaan 'Perikatan Nasional' yang dipimpin parti itu adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.

"Dalam mesyuarat itu, MPT mengiktiraf tugas yang digalas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi yang sah selaras dengan Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, setelah peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu pada 24 Februari 2020.

"MPT menyokong dan memberikan mandat penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan setelah dilantik Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu katanya, Hamzah berkata, MPT juga mengesahkan bahawa Datuk Marzuki Yahya diberhentikan sebagai Setiausaha Agung melalui surat pemberhentian bertarikh 18 Mac 2020 dan pelantikan dirinya sebagai pengganti yang baru pada 26 Mac 2020 adalah sah dan teratur mengikut perlembagaan parti.

Menurutnya, MPT turut mengesahkan bahawa Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah Setiausaha Kerja Bersatu yang sah sejak sekian lama dan sebarang surat pemakluman yang ditandatanganinya adalah terpakai secara rasmi.

"MPT merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mantan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan semua ahli MPT yang meninggalkan parti atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti.

"Dengan pengesahan dan ketetapan yang diambil pada mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Berita berkaitan:

  • Kami berlima masih ahli Bersatu
  • 'Bersatu akan hancur' - Dr Mahathir
  • Syed Saddiq perlu terima hakikat - Armada Bersatu Sabah
  • Pergolakan Bersatu beri kelebihan kepada PH
  • 'Selamat maju jaya Tun' - Muhyiddin [METROTV]
  • Keahlian Tun M terhenti bukan dipecat
  • Tun M nak pecat Muhyiddin [METROTV]
  • 'Dia tak ada hak pecat saya' - Tun M
  • Saya berserah - Syed Saddiq
  • 'Digugurkan keahlian, bukan dipecat'
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 11:42 AM