Anggota bomba membawa mayat Che Ku Jalil selepas ditemui lemas di Sungai Kampung Sabak Feri, Rompin hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba membawa mayat Che Ku Jalil selepas ditemui lemas di Sungai Kampung Sabak Feri, Rompin hari ini. Foto Ihsan JBPM
Asrol Awang

LELAKI yang dilaporkan hilang selepas terjatuh di Sungai Kampung Sabak Feri, Rompin pagi hari ini ditemui lemas pada tengah hari.

Mayat Che Ku Jalil Engku Man, 49, ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin pada 12.40 tengah hari.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada 10.11 pagi.

Menurutnya, seramai 16 anggota bomba termasuk pegawai ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Turut sama dalam SAR ialah 12 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tujuh pegawai serta anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Pasukan SAR dipecahkan kepada dua pasukan iaitu yang pertama membabitkan lima anggota yang melakukan operasi pencarian menggunakan bot penyelamat bermula dari Kuala Sungai Rompin sehingga ke Kampung Menchali.

"Pasukan kedua pula melakukan pencarian di pesisir sungai ke Kampung Menchali dengan kekuatan enam anggota," katanya dalam satu kenyataan.

Anuar berkata, kira-kira dua jam operasi dijalankan, mayat mangsa yang dilaporkan hilang oleh nelayan tempatan ditemui.

Menurutnya, mayat Che Ku Jalil kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 1 tengah hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 5:17 PM