PASUKAN SAR menemui mayat mangsa tersangkut pada jala di tebing sungai. FOTO ihsan Bomba
PASUKAN SAR menemui mayat mangsa tersangkut pada jala di tebing sungai. FOTO ihsan Bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika pergi memancing ditemui lemas tersangkut pada jala ikan di tebing Sungai Demak Laut, di sini, malam tadi.

Mangsa, Victor Charlie, 33, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada 10.50 malam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hi berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya menerima panggilan kecemasan dari polis berhubung kejadian itu pada 10 malam tadi.

Menurutnya, dilaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjala ikan di sungai berkenaan.

"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai tujuh anggota bomba bersama polis serta rakan mangsa segera membuat pencarian di tebing sungai yang ketika itu air surut.

"Pasukan SAR menemui mayat mangsa tersangkut pada jala di tebing sungai," katanya.

Katanya, menurut ibu mangsa, anaknya itu turun ke sungai pada 7 pagi, Isnin.

"Namun, dia tidak pulang, menyebabkan satu laporan polis dibuat malam tadi sebelum SAR dilancarkan," katanya.

Tiong berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 8:30 AM