MUHYIDDIN YASSIN
MUHYIDDIN YASSIN
BERNAMA

DALAM usaha menggerakkan semula ekonomi pasca Covid-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Majlis Belia Malaysia (MBM) dapat bekerja rapat dengan kerajaan untuk membantu generasi muda yang terkesan daripada sudut ekonomi.

Menurutnya, ia kerana golongan belia termasuk dalam senarai pihak yang diberikan tumpuan khusus di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.

"Tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk menggerakkan semula ekonomi pasca Covid-19.

"MBM selaku organisasi yang menaungi golongan belia boleh memainkan peranan dalam aspek ini," katanya dalam catatan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau hari ini.

Perdana Menteri turut memuat naik beberapa gambar berkaitan pertemuan beliau dengan 13 pemimpin tertinggi MBM yang diketuai oleh Presidennya, Jufitri Joha.

Menurut Muhyiddin, pada pertemuan itu mereka membincangkan peranan yang boleh dimainkan golongan belia dalam pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, MBM juga membangkitkan mengenai keperluan menambah bilangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Sabah dan Sarawak dalam usaha memajukan golongan belia.

"Saya mengambil maklum bahawa ketika ini hanya terdapat sebuah IKBN di kedua-dua negeri itu. Perkara ini akan diberi perhatian untuk tindakan lanjut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 9:44 PM