Izlaily Nurul Ain Hussein


MALAYSIA sedia meneruskan pembinaan projek Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru - Singapura dengan kos lebih rendah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, selepas menangguhkan projek itu sehingga hari ini, kini kerajaan sudah memaklumkan kepada Singapura untuk meneruskan pembinaan itu tanpa sebarang penangguhan.

“Projek ini (RTS Johor Bahru - Singapura) akan dibina. Perjanjian sudah dibuat. Sebahagiannya akan kita bina dan sebahagiannya dibina Singapura.

“Segala perincian dalam pembinaan projek ini sudah dibincangkan kedua-dua negara.

“Kita patuh pada janji. Kita dah tangguhkan, sekarang kita dah sedia dan akan bina,” katanya pada sidang media berkaitan projek itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Dr Mahathir berkata, kos keseluruhan projek yang baharu dianggarkan dapat dikurangkan daripada RM4.93 bilion kepada RM3.16 bilion iaitu penjimatan 36 peratus bersamaan RM1.77 bilion.

Menurutnya, projek itu antara penyelesaian bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di Tambak Johor walaupun berpendapat ia tidak dapat menyelesaikan masalah itu secara menyeluruh.

“Projek ini boleh juga bantu kesesakan lalu lintas. Walaupun kita lihat orang lagi ramai ke Singapura (bekerja) menaiki motosikal.

“Jadi kalau mereka ke stesen naik motosikal, kemudian naik tren, lepas itu nak ke tempat kerja tiada motosikal, jadi masalah juga.

“Jadi, ini tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah kepada penunggang motosikal, melainkan jika kita dapat membina satu lagi jambatan.

“Yang boleh selesaikan masalah adalah bina jambatan. Sekarang ini, kita tidak dapat buat jambatan sebab tidak mendapat persetujuan Singapura,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, Anthony dan Menteri Penyelaras bagi Prasarana dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan menandatangani Perjanjian Tambahan untuk menangguhkan projek RTS Johor Bahru - Singapura bagi tempoh enam bulan dari 1 April hingga 30 September lalu.

Atas permintaan, Singapura bersetuju melanjutkan tarikh akhir penangguhan sehingga hari ini tanpa mengenakan sebarang kos tambahan kepada Malaysia.

Menurut Anthony, dalam tempoh penggantungan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) menjalankan beberapa siri kajian dan semakan membabitkan pegawai kerajaan, pakar industri dan pemegang taruh bagi menilai pilihan yang dikenal pasti untuk membuat pilihan terbaik.

Katanya, pada 18 Oktober lalu, MOT mendapat kelulusan daripada kabinet untuk meneruskan projek RTS dengan perubahan kepada struktur, skop dan spesifikasi projek.

“Satu ciri penting dalam struktur projek RTS ini yang disemak semula adalah mengenai pembabitan pemaju atau pemilik tanah Bukit Chagar untuk membiayai dan membolehkan projek diteruskan dengan kos tanah yang dikecualikan.

“Prasarana Malaysia Berhad (PMB) kekal sebagai wakil Malaysia dalam syarikat usahasama pengendali kereta api (JV OpCo) PMB juga diberi mandat untuk berbincang dengan syarikat pengendali kereta api Singapura SMRT untuk memuktamadkan terma dalam Perjanjian Usahasama (Joint Venture Agreement).

“Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) atau anak syarikatnya dilantik sebagai syarikat pemilik infrastruktur kereta api (InfraCo Malaysia) yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan dan penyiapan projek termasuk mereka bentuk aset infrastruktur seperti jejambat, landasan, stesen kereta api, stesen bekalan kuasa, depoh dan bangunan KIK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 6:23 PM
DR Mahathir pada sidang media Pengumuman Projek RTS antara Johor Bahru dan Singapura. FOTO Mohd Azren Jamaludin
DR Mahathir pada sidang media Pengumuman Projek RTS antara Johor Bahru dan Singapura. FOTO Mohd Azren Jamaludin