WEE KA SIONG
WEE KA SIONG
Mohamed Farid Noh


KEMENTERIAN Pengangkutan yakin dapat memeterai perjanjian Projek Sistem Transit Rapid (RTS) menjelang akhir bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Isnin ini adalah mesyuarat rundingan terakhir antara Malaysia-Singapura sebelum perjanjian berkenaan dimuktamadkan sepenuhnya.

"Kementerian Pengangkutan mempunyai keyakinan penuh dapat menyelesaikan isu tertunggak mengenai RTS pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RTS Malaysia-Singapura, lusa.

"Selepas itu, proses perundangan perjanjian akan diperincikan sebelum dimeterai sebelum 31 Julai ini juga, " katanya kepda pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MCA Johor di Johor, hari ini.

Projek RTS merangkumi landasan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bharu dan Woodlands di Singapura dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.

Pada Oktober tahun lalu, Malaysia bersetuju meneruskan projek RTS dengan kos terbaharu RM3.16 bilion dan dijangka siap pada Disember 2024, bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang-alik antara kedua-dua negara itu setiap hari.

Mei lalu, Wee dilaporkan berkata, Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan untuk melanjutkan perbincangan mengenai perjanjian dua hala projek RTS, yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura, hingga 31 Julai 2020.

Ia adalah lanjutan tiga bulan daripada tarikh yang sepatutnya dimuktamadkan sebelum ini, iaitu 30 April.

Perbincangan dua hala mengenai projek RTS turut terkesan, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan Langkah Pemutus Rantaian di Singapura.

Sementara itu, Wee berkata, proses naik taraf rangkaian rel yang menghubungkan Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah akan disegerakan selepas didapati projek itu bergerak terlalu perlahan.

Katanya, ia berikutan kedua pelabuhan itu amat penting kerana sebahagian besar barangan yang diangkut ke seluruh Semenanjung Malaysia dibawa masuk dari dua pelabuhan berkenaan.

"Oleh itu, ia perlu kepada sistem pengangkutan terutama rel yang lebih berkesan antara keduanya apatah lagi ia dapat menyelesaikan masalah kesesakan di Lebuhraya Pasir Gudang.

"Selepas melakukan tinjauan, Kementerian Pengangkutan mengarahkan supaya projek naik taraf rel berkenaan disegerakan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 4:00 PM