GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Seramai 4,485 graduan dianugerahkan sijil akademik diploma dan ijazah dalam Istiadat Perisytiharan Penganugerahan Ijazah Sempena Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan di Dewan Sultan Ibrahim dekat Batu Pahat, hari ini.

UTHM menerusi kenyataan memaklumkan isitiadat pengisytiharan anugerah itu hanya dihadiri pegawai kanan dan ia disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi universiti berkenaan.

Menurut UTHM pengisytiharan anugerah itu merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (126), Sarjana (329), Sarjana Muda (3,204) dan Diploma (826).

Menerusi istiadat itu juga UTHM turut menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Elektrik) kepada Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat SENA Tan Sri Datuk Tan Boon Hock, bagi menghargai kecemerlangan dan jasa bakti beliau dalam bidang kejuruteraan elektrik.

"Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina iaitu Muhammad Ruzain Hamidon dan Violet Leng pula menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) serta graduan Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Siti Malihah Mohd Yusof pula menerima Anugerah Sultan Ibrahim," katanya.

Sementara itu, Pro-Canselor UTHM Tan Sri Dr Ali Hamsa menerusi kenyataan sama berpesan supaya graduan tidak hanya mencari pekerjaan, sebaliknya perlu juga mencipta pekerjaan selain peka dengan inisiatif yang disediakan bagi menjadi pencipta peluang pekerjaan kepada diri sendiri serta orang lain.

Beliau berkata dunia pekerjaan kini juga tidak hanya menuntut graduan cemerlang dari segi akademik semata-mata namun, perlu dilengkapi pengetahuan dan kemampuan menguasai teknologi.

"Graduan disaran mengikis mentaliti makan gaji seterusnya meneroka secara lebih serius bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

"Hari ini kerajaan juga menyediakan pelbagai program, inisiatif dan bantuan supaya graduan boleh menerokai peluang baharu dan menjadi seorang usahawan," katanya.

Naib Canselor UTHM Prof Datuk Ts Dr Wahid Razzaly pula berkata graduan perlu menonjolkan keunikan kepakaran, profesionalisme dan kemahiran insaniah yang tinggi sebagai nilai tambah untuk bersaing mendapatkan pekerjaan .

"Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah memberi impak kepada graduan khususnya peluang pekerjaan yang semakin terhad. Justeru, graduan perlu menonjolkan kepakaran dan keunikan tersendiri dengan menawarkan kebolehan yang pelbagai dan boleh mengadaptasi situasi semasa dengan lebih cepat bagi memastikan mereka kekal relevan pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 1:53 PM