Bisnes HM


PENINGKATAN kes Covid-19 secara mendadak boleh mengakibatkan impak ekonomi yang besar kepada negara termasuk kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari.

Malah, ia juga boleh menyebabkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2021 tidak dapat dicapai.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan kerugian kepada negara khususnya dari aspek ekonomi dan sektor pekerjaan.

"Ia juga akan menidakkan usaha-usaha kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Pakej Prihatin dan Penjana yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi.

"Harus diingat bahawa kerajaan sudahpun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Prihatin, Prihatin Tambahan dan Penjana yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

"Lebih 2.75 juta pekerjaan berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja.

"Selain itu, lebih 800,000 perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima manfaat daripada pakej-pakej rangsangan ini," katanya dalam perutusan khas sempena Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, pakej di bawah Prihatin dan Penjana menyumbang lebih 3.0 peratus kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada tahun ini.

"Sekiranya PKP terpaksa dikuatkuasakan semula, antara impaknya termasuklah unjuran pertumbuhan KDNK yang dijangka pada tahun 2021 mungkin tidak akan tercapai.

"Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3 peratus bagi bulan Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak," katanya.

Perdana Menteri berkata, untuk mengelakkan semua masalah ini berlaku, semua pihak perlu memainkan peranan dengan meneruskan amalan normal baharu.

"Kejayaan kita memerangi Covid-19 dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri.

"Ia bergantung kepada kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita. Jangan kerana kes-kes Covid-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakai lah. Jangan tak pakai.

"Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.

"Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 4:48 PM