BANYAK sektor ekonomi menanti pembukaan sempadan bukan saja dalam negara, malah ke luar negara seperti sektor pelancongan dan peruncitan.
BANYAK sektor ekonomi menanti pembukaan sempadan bukan saja dalam negara, malah ke luar negara seperti sektor pelancongan dan peruncitan.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Rancangan pemulihan ekonomi Malaysia berada di landasan tepat dengan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula semalam.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemulihan ekonomi pasti menyusul bersama dengan pemulihan kesihatan awam.

Katanya, banyak sektor ekonomi yang menanti pembukaan sempadan bukan saja dalam negara, malah ke luar negara seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

"Bagi mereka daripada sektor pelancongan, manfaatkanlah peruntukan Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro yang masih terkesan dengan Covid-19," katanya pada pembentangan laporan Laksana ke-42 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), secara maya, semalam.

Menurutnya, Bank Dunia sudah mengumumkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.6 hingga 6.7 peratus bagi 2021 susulan pelancaran program vaksinasi Covid-19 secara global dan ini sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar empat peratus.

"Minggu lalu menyaksikan pelbagai detik bersejarah bagi negara. Saat yang paling ditunggu-tunggu sudah pasti ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 ke tanah air.

"Ketibaan ini menandakan bermulanya Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di mana 500,000 petugas barisan hadapan akan divaksinasikan menjelang April tahun ini," katanya.

Kerajaan juga menyasarkan 80 peratus atau 27 juta penduduk Malaysia akan divaksinasikan menjelang suku pertama 2022 bagi mencapai imuniti kelompok.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menjalani prosedur suntikan vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya Presint 11 dan dikendalikan Ketua Jururawat pejabat kesihatan itu, Lina Ibrahim.

Pejabat kesihatan itu adalah antara lebih 500 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti seluruh negara.

Turut sama menerima suntikan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 7:30 AM