TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP
TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KERAJAAN bersikap terbuka mengenai langkah rangsangan bersasar sekiranya situasi memerlukan, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata buat masa ini tiada sebarang rancangan untuk mewujudkan pakej rangsangan yang lain.

"Kerajaan akan memantau situasi ekonomi dan sekiranya perlu kita akan menyediakan lebih banyak bantuan bersasar," katanya dalam wawancara bersama Bernama dan TV3, semalam.

Pada masa ini, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), yang dijangka menyumbang lebih tiga peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020, masih dijalankan dan pelaksanaannya dipantau rapat.

"Bagaimanapun, jika ada segmen masyarakat tertentu yang memerlukan bantuan, kita akan terus memberikannya. Kementerian ini dan Kabinet kerap turun padang untuk memahami apa yang sedang berlaku, seandainya memang ada keperluan untuk membantu rakyat, kita akan bersedia," katanya.

Tengku Zafrul berkata, masih terdapat ruang untuk inisiatif bersasar.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, rancangan untuk menaikkan had hutang statutori Malaysia kepada 60 peratus daripada KDNK berbanding 55 peratus adalah sebahagian suntikan langsung kerajaan bernilai RM45 bilion ke dalam Prihatin serta Penjana, dan menjelang akhir tahun ini nisbah hutang akan sedikit melebihi 55 peratus.

"Ini bermakna masih ada ruang untuk sebarang rangsangan bersasar sekiranya perlu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 9:21 AM