PENINGKATAN kes Covid-19 secara mendadak boleh mengakibatkan impak ekonomi yang besar kepada negara.
PENINGKATAN kes Covid-19 secara mendadak boleh mengakibatkan impak ekonomi yang besar kepada negara.
Oleh Saipul Adli Mohamad dan Syarifah Dayana Syed Bakri dan Raja Noraina Raja Rahim

PENINGKATAN kes Covid-19 secara mendadak boleh mengakibatkan impak ekonomi yang besar kepada negara termasuk kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari.

Malah, ia juga boleh menyebabkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2021 tidak dapat dicapai.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan kerugian kepada negara khususnya dari aspek ekonomi dan sektor pekerjaan.

"Ia juga akan menidakkan usaha-usaha kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Pakej Prihatin dan Penjana yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi.

"Harus diingat kerajaan sudahpun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Prihatin, Prihatin Tambahan dan Penjana yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

"Lebih 2.75 juta pekerjaan diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja.

"Selain itu, lebih 800,000 perniagaan termasuk perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima manfaat daripada pakej rangsangan ini," katanya dalam perutusan khas sempena Perkembangan Terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, semalam.

Menurutnya, pakej di bawah Prihatin dan Penjana menyumbang lebih 3.0 peratus kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada tahun ini.

"Sekiranya PKP dikuatkuasakan semula, antara impaknya termasuk unjuran pertumbuhan KDNK yang dijangka pada 2021 mungkin tidak akan tercapai.

"Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3 peratus bagi bulan Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak," katanya.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada -2 peratus hingga 0.5 peratus tahun ini manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) -3.8 peratus dan Bank Dunia -3.1 peratus.

Perdana Menteri berkata, untuk mengelak masalah ini berlaku, semua pihak perlu memainkan peranan dengan meneruskan amalan normal baharu.

"Kejayaan kita memerangi Covid-19 dalam fasa pemulihan ini bergantung kepada diri kita sendiri.

"Ia bergantung kepada kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita. Jangan kerana kes Covid-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakailah. Jangan tak pakai.

"Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.

"Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 7:00 AM