SUSPEK ditangkap orang awam selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Ria Height, pagi tadi. FOTO ihsan polis
SUSPEK ditangkap orang awam selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Ria Height, pagi tadi. FOTO ihsan polis
Abdul Rahemang Taiming


Tawau : Taktik seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah dengan berpakaian wanita di Taman Ria Height dekat sini, pagi tadi, gagal apabila disedari pemilik kediaman terbabit.

Perbuatan suspek berusia 35 tahun itu disedari anak pemilik rumah yang juga remaja perempuan berusia 18 tahun ketika baru pulang dari menghantar ibunya bekerja di sebuah kilang di sini, kira-kira 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, sebaik sampai di hadapan rumah, mangsa melihat sepasang selipar bersaiz besar selain jeriji besi pintu utama dalam keadaan terbuka.

Beliau berkata, mengesyaki rumah dipecah masuk, remaja itu kemudiannya masuk semula ke dalam kereta sebelum menghubungi ahli keluarga yang tinggal berhampiran.

"Ketika itu, tiba-tiba keluar seorang lelaki yang berpakaian baju tidur perempuan, memakai tudung dan pelitup mulut keluar dari pintu hadapan rumah.

"Suspek dilihat berlari dan masuk ke dalam sebuah kenderaan dan memecut secara mengundur.

"Bagaimanapun, suspek ditahan dan ditangkap oleh orang awam selepas kereta dipandunya terbabas berhampiran laluan utama kawasan perumahan itu sebelum diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Peter berkata, pemeriksaan di dalam rumah mangsa mendapati beberapa barang perhiasan wanita hilang disyaki dicuri.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 8:47 PM