MAYAT mangsa. FOTO Ihsan PDRM
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Lelaki dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak malam Khamis lalu ditemukan mati di dalam sungai Kampung Inderasabah di sini, semalam.

Mayat Hazlan Abdul Hamid, 23, yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan tertiarap di situ, pada 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua belah kaki mangsa terikat pada wayar hijau yang bersambung dengan besi pemberat.

"Bagaimanapun pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat yang akan dijalankan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Peter berkata, terdahulu, laporan awal mengenai kehilangan lelaki itu dibuat bapa mangsa pada 12 tengah hari Jumaat lalu selepas bimbang keselamatan anaknya yang sudah dua hari tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, ahli keluarga bersama penduduk kampung juga melancarkan usaha mencari mangsa di kawasan sekitar tempat tinggalnya, namun gagal.

"Mangsa mempunyai masalah kesihatan (penyakit mental) dan dikatakan kerap merayau serta keluar berjalan-jalan tanpa tujuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 8:33 AM