GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


SATU lagi kluster baharu dikesan di pasar di Stutong, Sarawak apabila dua kes didapati positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengah hari ini, seramai 218 orang penjaja disaring iaitu terdiri daripada 213 warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara terdiri tiga warga China, seorang warga Indonesia dan seorang warga Vietnam.

Menurutnya, daripada jumlah saringan ini, 56 orang disampel apabila dua kes didapati positif Covid-19 manakala 54 negatif.

"Kluster ini dikesan hasil saringan Covid-19 bagi penjaja pasar itu yang dikenal pasti sebagai salah satu kumpulan sasar dalam pendekatan tertumpu (targeted approach).

"Pasar ini ditutup buat sementara waktu bagi pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan serta nyah kuman dan punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Mengulas mengenai Kluster Mambong, Dr Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari ini, lima kes positif Covid-19 dilaporkan daripada 70 orang yang disaring dalam Kluster Mambong.

"Seramai 65 orang masih menunggu keputusan dan kluster ini membabitkan warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara, iaitu warga Filipina yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8732)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 5:37 PM