Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Lima lelaki dan seorang wanita yang disyaki ahli sindiket along ditahan pada dua serbuan berasingan di Ipoh dan Manjung di sini.

Keenam-enam suspek yang berusia 16 hingga 42 tahun ditahan pada 16 Februari lalu dan semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek ada kaitan antara satu sama lain dan mereka terbabit mengugut selain menyimbah cat merah di rumah keluarga peminjam.

Menurut beliau, sindiket yang aktif sejak Mac tahun lalu bukan saja menyimbah cat merah ke rumah keluarga peminjam malah membuat rakaman video untuk mengugut keluarga berkaitan.

"Pada 10 Februari lalu, seorang pengadu membuat laporan polis yang menyatakan, semasa di tempat kerja, dia dihubungi jiran yang memaklumkan kediamannya di Bandar Baru Sri Klebang disimbah cat merah.

"Pengadu bergegas pulang dan dia turut menemui notis amaran hutang di atas nama anak lelakinya ditampal di pintu pagar rumah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, anak pengadu tidak tinggal di alamat berkenaan dan kini dipercayai berada di Singapura malah pengadu tidak mengetahui jumlah pinjaman daripada along yang dibuat anaknya itu.

"Hasil risikan selama seminggu terhadap sindiket ini, kami menahan dua lelaki dan seorang wanita yang aktif membaling cecair merah di sekitar Ipoh.

"Ketiga-tiganya berusia 21 hingga 39 tahun. Mereka ditahan di bilik sewa di sekitar Bercham di sini, pada jam 5 petang, 16 Februari," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurut beliau, semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

"Kami turut merampas antaranya telefon bimbit dan dua botol cecair merah," katanya.

Mior menunjukkan antara peralatan yang dirampas dalam operasi tangkapan Along selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI.
Mior menunjukkan antara peralatan yang dirampas dalam operasi tangkapan Along selepas mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI.

Pada operasi kedua, menurut beliau, pihaknya menahan tiga suspek berusia 16 hingga 42 tahun di sebuah stesen minyak di sekitar Manjung, jam 5 petang semalam.

Kedua-duanya juga positif Methamphetamine.

"Serbuan dibuat hasil laporan pengadu di pekan Razaki di Ipoh yang diperlakukan sama seperti kes pertama.

"Kedua-dua suspek ini aktif membaling cat merah di sekitar Ipoh dan Manjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 5:31 PM