GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


TUJUH kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan kes positif di negara ini adalah 8,725 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu membabitkan enam kes import dan satu kes tempatan.

"Daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan dua warga negara dan empat bukan warga negara iaitu pemastautin yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

"Satu kes penularan di dalam negara pula adalah warga negara iaitu kes daripada Kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Novgorod di Melaka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 83 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

Katanya, empat pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, selain itu terdapat satu kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,520 kes dengan kadar kesembuhan 97.6 peratus.

"Tiada kematian berkaitan Covid-19 dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 122 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 5:31 PM