POLIS menjalankan pemeriksaan ke atas  individu dan motosikal yang mencurigakan. FOTO ihsan polis
POLIS menjalankan pemeriksaan ke atas individu dan motosikal yang mencurigakan. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menahan 41 individu berusia antara 17 hingga 56 tahun sekali gus menumpaskan dua geng ragut, tiga geng pecah rumah dan satu geng curi yang aktif di Kuala Lumpur menerusi Ops Rentap.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, Ops Rentap dilaksanakan di kawasan panas kejadian ragut bermula 1 Jun hingga 30 Jun lalu membabitkan lima pegawai kanan polis dan 19 pegawai rendah polis.

Menurutnya, mereka menjalankan pemeriksaan terhadap individu dan motosikal yang mencurigakan, membuat rondaan di kawasan panas, serta membuat pemantauan di lokasi tumpuan peragut seperti premis pajak gadai dan hotel bajet.

"Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 440 pemeriksaan individu dan 310 pemeriksaan motosikal dilakukan.

"Susulan operasi ini, polis Kuala Lumpur berjaya mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) terhadap 12 individu berusia antara 25 hingga 46 tahun yang terbabit dalam kes ragut dan kes pecah rumah," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mazlan berkata, tindakan Poca itu bukan saja dikenakan terhadap penjenayah yang melakukan ragut malah dikenakan terhadap 'ulat' atau pembeli barang hasil ragut dan curi bagi memastikan keseluruhan rangkaian dilumpuhkan.

"Selain itu, polis membuat tangkapan terhadap lima individu yang disenaraikan sebagai orang dikehendaki dan seramai 10 orang dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

"Sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 284 laporan polis dibuat oleh mangsa ragut di Kuala Lumpur berbanding sebanyak 390 kes ragut bagi tempoh yang sama pada 2019.

"Perangkaan menunjukkan operasi ini berjaya menurunkan kadar jenayah kes ragut sebanyak 106 kes atau 27.2 peratus," katanya.

Beliau berkata, Ops Rentap ini kemudian diteruskan pada 12 Julai dan akan berakhir pada 26 Julai ini dengan kekuatan seramai lapan pegawai kanan polis dan 47 pegawai rendah polis.

"Setakat ini, sudah menahan seramai 17 individu berusia antara 14 hingga 45 tahun yang terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah serta mengeluarkan saman kepada 68 individu di atas pelbagai kesalahan trafik.

"Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 9:46 PM