Nurul Amanina Suhaini


Mersing: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas rokok seludup berjumlah RM 7.66 juta dalam serbuan di sebuah jeti kawasan Endau, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 51 tahun.

Katanya, bertindak atas maklumat berkaitan penyeludupan kontraband, serbuan dijalankan PPM Wilayah Dua Mersing, PPM Wilayah Dua Tampoi bersama Balai Polis Endau, antara jam 6.30 petang hingga 10 malam.

"Modus operandi yang digunakan adalah bot persiaran pelancong akan menghampiri kapal besar di perairan antarabangsa untuk melakukan pemindahan.

"Kompartmen dalam bot ini sudah diubahsuai. Sebelum pandemik Covid-19 melanda, ia digunakan untuk pelancongan seperti aktiviti menyelam, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu itu, bot ini diubah suai untuk menyeludup kontraband.

"Rampasan merangkumi dua lori, sebuah bot persiaran, 380 kotak rokok Rand Bold, 523 kotak rokok Vstar, masing-masing satu unit sistem pengesanan lokasi (GPS) Garmin GPSMAP, radar Furono Fish Finder FCB-627 dan radar Lowrance HDS 7 yang semuanya bernilai RM9.32 juta," katanya pada sidang media di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, rokok yang dipercayai dari Vietnam itu dibawa masuk bagi pasaran di kawasan pantai timur.

Katanya, kumpulan ini adalah rangkaian kecil daripada sindiket yang lebih besar dan semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Ayob Khan (tengah) melihat lori dan rampasan rokok seludup di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin PDRM, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ayob Khan (tengah) melihat lori dan rampasan rokok seludup di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin PDRM, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

"Kesemuanya direman pada 12 dan 13 Jun, namun disambung reman tiga hari mulai hari ini hingga Rabu ini bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan, denda boleh dikenakan tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, polis Johor menerusi PPM sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan perairan negara dari dibolosi sindiket penyeludupan yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan dari dikesan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 1:53 PM