Nurul Amanina Suhaini


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran rokok tanpa cukai dalam serbuan di kawasan ladang sawit, Batu 24, Pekan Nenas, Pontian, petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, pada jam 2.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota serbuan dari Unit Risik Marin PPM Wilayah Dua Johor membuat serbuan menerusi Ops Landai Benteng Covid bagi membanteras rokok tidak bercukai kastam.

Katanya, terdapat empat lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun dipercayai sedang memunggah sejumlah kotak berwarna coklat daripada sebuah lori ke dalam tiga kenderaan iaitu Toyota Alphard, Innova dan Proton Exora yang berada di kawasan itu.

"Menyedari kehadiran pasukan serbuan, tiga lelaki sempat melarikan diri manakala seorang berjaya ditahan. Hasil pemeriksaan lanjut, sejumlah kotak berwarna coklat tertulis U2 disyaki berisi rokok tidak bercukai kastam sebanyak 45,500 paket ditemui dalam kenderaan itu.

MOHD Yusoff (kiri) menunjukkan rampasan rokok tanpa cukai pada sesi sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Tampoi, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
MOHD Yusoff (kiri) menunjukkan rampasan rokok tanpa cukai pada sesi sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Tampoi, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini

"Dipercayai kumpulan ini aktif sejak dua hingga tiga bulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain modus operandi yang digunakan adalah menggunakan lori bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

"Mereka kemudian ke lokasi dikenal pasti selamat untuk memunggah dan rokok ini dipercayai stok lama bagi pasaran di selatan Johor," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Tampoi, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM982,500, manakala lelaki yang ditahan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

"Kes disiasat oleh pegawai penyiasat Jenayah IPD Pontian mengikut Seksyen 153 (1) Akta Kastam 1967.

"Orang ramai diminta memberi kerjasama supaya menyalurkan maklumat kegiatan menyalahi undang-undang di persisiran pantai. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman di talian 03-2266 3208," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 3:46 PM