Hiasan SPRM
Hiasan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim


DUA beranak antara tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas disyaki memalsukan dokumen bagi mendapatkan pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM540,000.

Lelaki berusia 59 tahun dan anaknya berusia 36 tahun bersama seorang lagi wanita berusia 50 tahun ditahan di Pejabat SPRM Putrajaya, pada 2.45 petang.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan.

"Mereka dipercayai mendalangi sindiket yang membuat tuntutan palsu bagi laporan perubatan Orang Berinsuran (OB) dalam kalangan pencarum Perkeso yang membuat permohonan tuntutan hilang upaya sementara atau kekal dan Pencen Ilat.

"Mereka dipercayai melakukan kegiatan berkenaan sekitar 2009 hingga 2017," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk mendapatkan perintah reman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:15 PM