BANJIR yang belum surut di Kampung Jimah Lama, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
BANJIR yang belum surut di Kampung Jimah Lama, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

HUJAN lebat berterusan sejak jam 3 pagi menyebabkan 18 rumah di Kampung Jimah Lama, Port Dickson, terjejas teruk.

Mangsa, Anuar Aizi Kamarulzaman, 35, berkata, ini banjir kedua tahun ini tetapi lebih teruk sehingga mencecah kedalaman satu meter air masuk ke dalam rumah.

"Banyak peralatan yang tak dapat diselamatkan dan kami sekeluarga tidak dapat tidur kerana hujan lebat yang luar biasa.

"Saya dan isteri iaitu Rizuana Mat Roslan, 34, dan anak sulung, Nurul Balqis Anuar, 12, cuba menyelamatkan barangan rumah namun air naik dengan cepat," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Sementara itu, Normah Md Ali, 53, berkata, keadaan air naik dengan cepat menyebabkan dia meminta bantuan Anggota Pertahanan Awam (APM) bagi membantu suaminya, Noor Abidin Saman, 52, yang terlantar kerana penyakit angin ahmar sejak lima tahun lalu.

"Nasib baik anak-anak seramai empat orang tinggal bersama dan mereka dapat membantu mengemaskan barang berharga kerana air masuk ke rumah sementara menunggu bantuan anggota APM.

"Suami pula sakit terlantar di bawa terus ke pusat permindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Lama. Harap banjir cepat surut tetapi sehingga sekarang (2 petang), keadaan masih hujan,"katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jimah Lama, Tengku Nasir Tengku Sahit berkata, banjir kali ini lebih besar kerana membabitkan lebih 60 rumah.

"Memang kampung ini biasa dilanda banjir tetapi hanya sekitar 40 rumah yang terbabit namun hari ini ia bertambah menjadi 60 rumah.

"Bagaimanapun hanya enam keluarga yang duduk di pusat permindahan banjir di SK Jimah Lama kerana kebanyakan mangsa tidak mahu meninggalkan rumah masing-masing bimbang keselamatan barang mereka serta mengemaskan perabut rumah yang ditenggelami air," katanya.

Dia berharap kerajaan dapat segera menyelesaikan masalah banjit kilat yang dihadapi selalu dihadapi mereka.

"Keadaan sungai yang semakin cetek perlu diselenggara setiap tahun atau semua penduduk yang tinggal di tepi sungai perlu dipindahkan ke tempat yang lebih selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 5:15 PM