BANJIR di RKT KESEDAR Jeram Tekoh. FOTO ihsan pembaca
BANJIR di RKT KESEDAR Jeram Tekoh. FOTO ihsan pembaca
Ramli Ibrahim


SEKURANG-KURANGNYA 10 keluarga peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh dan Kampung Kundur, Gua Musang berpindah kerana rumah dinaiki air, 8.30 malam tadi.

Manakala, penduduk lain di kampung sama dan Kampung Limau Kasturi serta Kampung Tiong menunggu masa untuk melakukan perkara sama.

Bagaimanapun, sehingga 11 malam, masih tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Kawasan itu dinaiki air susulan limpahan Sungai Galas yang kini berada pada paras berjaga-jaga (57.17 meter) dan hujan berterusan.

Jalan Pekan Lama di bandar pula ditutup untuk kenderaan ringan berikutan Jambatan Sungai Chinda tenggelam kira-kira 9 malam.

Seorang peneroka di Kampung Kundur, Ismail Harun, 52, berkata, air Sungai Galas melimpahi tebing dengan cepat berikutan hujan lebat sejak 5 petang.

Katanya, mereka yang berpindah adalah penduduk yang rumahnya berada di kawasan rendah dan di pinggir sungai.

“Dalam masa empat jam mulai petang tadi, air Sungai Galas naik dengan cepat hingga ada penduduk tidak sempat pun mengemaskan barang.

“Saya sendiri bimbang kerana limpahan air sudah menghampiri rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan untuk berpindah daripada peneroka di RKT KESEDAR Jeram Tekoh pada 8.45 malam.

Katanya, mangsa yang menghubungi untuk bantuan disebabkan rumah mereka berhampiran tebing sungai dan jambatan dekat jalan utama ke kawasan terbabit.

“Ketika anggota tiba, sudah ada peneroka yang bersiap untuk berpindah ke pejabat KESEDAR Jeram Tekoh,” katanya.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 1:35 AM