ABD Halim Omar dari Kampung Surau Panjang berada di hadapan rumahnya yang mengalami masalah air termenung. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ABD Halim Omar dari Kampung Surau Panjang berada di hadapan rumahnya yang mengalami masalah air termenung. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Lebih 10 tahun penduduk di Kampung Surau Panjang di sini, dibelenggu masalah air termenung setiap kali hujan terutama pada musim tengkujuh pada November hingga awal Februari.

Keadaan itu memberi kesan terutamanya kepada enam keluarga di kampung itu kerana air termenung pada paras 0.5 meter itu mengambil masa lebih sebulan untuk surut sekiranya tidak hujan.

Seorang penduduk, Abd Halim Omar, 56, berkata, masalah itu sudah diajukan kepada semua pihak termasuk dikemukakan ketika mesyuarat bersama kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, sehingga kini masalah itu tidak pernah diberi perhatian dan tiada usaha diambil untuk menyelesaikannya.

"Sistem perparitan yang tidak terurus selain banyak kawasan tadahan air hujan ditambak dengan pasir untuk tujuan pembinaan rumah antara punca utama masalah itu berlaku.

"Sebelum ini air naik hanya paras 0.4 hingga 0.6 meter sahaja tetapi sekarang mampu mencapai ke paras satu meter sekiranya hujan lebat dalam tempoh sejam," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Abd Halim berkata, dia mengalami kerugian setiap kali musim tengkujuh kerana masalah banjir itu.

"Saya tinggal bersama isteri dan seorang anak perempuan di rumah ini, apabila rumah dinaiki air saya tidak sempat untuk menyelamatkan barangan dalam rumah.

"Hanya sempat mengalihkan kenderaan ke kawasan tinggi dan menyelamatkan barangan ringan sahaja.

"Kami tidak tahu sampai bila masalah ini perlu dihadapi kerana sehingga sekarang tiada usaha dijalankan untuk menyelesaikannya," katanya.

Menurutnya, sudah dua kali dia terpaksa berlindung di pusat permindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Atas Tol pada bulan ini.

"Berkemungkinan dalam minggu ini kami terpaksa berpindah lagi ke PPS itu kerana dijangka hujan lebat berterusan.

"Berasa tertekan dan letih untuk menghadapi masalah banjir dan air termenung itu.

"Masalah ini juga menyebabkan kami tidak keluar rumah terutama pada waktu malam kerana bimbang ancaman ular berbisa yang pernah ditemui berkeliaran di dalam air itu," katanya.

Seorang lagi penduduk, Hisham Sipit, 49, berkata, dia terpaksa menyediakan pakaian tambahan untuk ke tempat kerja.

"Sudah pasti air termenung ini bercampur dengan pelbagai kotoran termasuk sampah dan menyebabkan bau busuk.

"Jika ingin pergi ke pejabat, saya perlu memakai seluar lain terlebih dahulu dan menyediakan air untuk basuh kaki.

"Tidak seronok menjalani kehidupan seperti ini setiap kali air naik di kawasan rumah," katanya.

Hisham berkata, beberapa penduduk sudah berpindah dari kawasan berkenaan kerana tidak tahan dengan masalah terbabit.

"Seorang pemilik rumah baru sahaja berpindah dan ingin menjual rumahnya itu tetapi sampai sekarang rumah itu tidak terjual kerana masalah berkenaan.

"Hanya pada tahun pertama tinggal di rumah itu tidak berlaku banjir dan selepas itu rumah sering dinaiki air sehingga sekarang," katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak bertanggungjawab prihatin dan membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Sediakan sistem perparitan yang baik di kawasan berkenaan supaya masalah banjir di kawasan itu selesai.

"Paling kurang sistem perparitan yang baik akan menyebabkan air termenung di kawasan rumah cepat surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 1:40 PM