Norzamira Che Noh


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat mural gergasi yang memaparkan pemimpin negara termasuk potret baginda di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 dekat Shah Alam, hari ini.

Baginda tiba pada 3 petang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Keberangkatan baginda disambut tiga pelukis muda yang melukis mural berkenaan iaitu Muhammad Suhaimi Ali, 27, Muhamad Firdaus Nordin, 26 dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Ketika keberangkatan, baginda juga berkenan untuk mengurniakan surat penghargaan dan cendera kenangan kepada tiga pelukis berkenaan.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan mengambil gambar bersama rakyat yang menunggu kehadiran baginda sejak 2 petang dan kemudian meluangkan masa bersantap bersama tiga pelukis itu.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan memaklumkan keberangkatan Al-Sultan Abdullah adalah atas inisiatif baginda sendiri dan mencerminkan keprihatinan baginda terhadap golongan belia negara.

"Ia juga mencerminkan keperibadian tinggi Seri Paduka menyantuni ketiga-tiga pelukis itu dan menghargai usaha murni dan hasil titik peluh serta seni mereka yang mendapat sambutan hangat dan tular di media sosial.

"Dalam perjalanan yang berlangsung selama hampir satu jam 30 minit itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada tiga-tiga pelukis di atas cara mereka mengekspresikan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin yang sudah banyak berjasa kepada negara.

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar usaha-usaha tiga pelukis itu menjadi contoh, sumber inspirasi dan tauladan kepada golongan belia negara untuk lebih menghargai pemimpin dan negara serta menggunakan masa yang ada dengan baik-baiknya," katanya.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar bersama pelukis Muhammad Suhaimi Ali (kiri), Muhammad Firdaus Nordin (dua kanan) dan Abdul Hadi Ramli. FOTO Hazreen Mohamad
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar bersama pelukis Muhammad Suhaimi Ali (kiri), Muhammad Firdaus Nordin (dua kanan) dan Abdul Hadi Ramli. FOTO Hazreen Mohamad

Selain potret Al-Sultan Abdullah, pelukis berkenaan turut menghasilkan potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu, menurut pelukis, Muhammad Suhaimi, beliau tidak menyangka Seri Paduka berkenan untuk hadir melihat sendiri potret yang dilukis olehnya dan rakan-rakan.

"Perasaan kami sukar digambarkan apabila mendapat tahu Seri Paduka berkenan hadir melihat potret yang kami hasilkan. Terima kasih kepada baginda kerana menghargai hasil kerja kami.

"Potret ini dilukis sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin negara kita atas usaha mereka memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam tempoh penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 4:43 PM