Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini, berkenan menyantuni penduduk di beberapa buah kampung dalam daerah Temerloh, yang dilanda banjir.  FOTO Instagram
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini, berkenan menyantuni penduduk di beberapa buah kampung dalam daerah Temerloh, yang dilanda banjir. FOTO Instagram
BERNAMA

Kuantan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, berkenan menyantuni penduduk di beberapa buah kampung dalam daerah Temerloh, yang dilanda banjir.

Laman sosial rasmi Istana Negara melaporkan, keberangkatan Seri Paduka Baginda ke daerah itu diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dua anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Antara kampung yang menerima 'kunjungan' keluarga diraja itu ialah Kampung Buntut Pulau dan Kampung Tebal, manakala di Sekolah Tahfiz al-Quran Al Amin Kampung Berhala Gantang, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan membantu menyediakan juadah kepada mangsa banjir di situ.

"Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan. Seri Paduka Baginda berdua juga dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa buah kampung di Temerloh yang turut dilanda banjir.

"Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan supaya banjir yang melanda beberapa negeri pada masa ini tidak berpanjangan," menurut kenyataan di Facebook (FB) dan Instagram Istana Negara.

Sementara itu, penceramah Ustaz Ebit Liew menerusi FB beliau menyatakan rasa terharu beliau apabila berkesempatan bersua dengan Al-Sultan Abdullah di sebuah restoran di Temerloh, selepas selesai menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di situ.

Ebit berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk membayar hidangan ikan patin, yang menjadi sajian istimewa di Temerloh dan mengakui terharu dengan keperibadian Seri Paduka Berdua menyantuni beliau, ketika berada di restoran itu.

"Tuanku (Al-Sultan Abdullah) berulang kali mengucapkan terima kasih kerana memberi bantuan di Pahang. Allahuakbar, sebenarnya sikit sangat bantuan yang kami berikan. Selalu nampak rombongan Yang di-Pertuan Agong setiap hari beri bantuan banjir.

"Pecah tiga lagi, Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong dan Pemangku Raja Pahang dari pagi sampai lewat malam," tulis Ebit.

Ebit juga mengakui seronok apabila Al-Sultan Abdullah berkenan mengajak beliau dan pasukannya bergambar kenangan kerana menurutnya, mereka semua sememangnya 'teringin dan berdoa untuk bergambar' bersama Seri Paduka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 8:28 PM