Pegawai penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan ke atas sebuah syarikat menjual alat ganti motosikal tiruan di Kepong.  FOTO Ihsan KPDNHEP
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan ke atas sebuah syarikat menjual alat ganti motosikal tiruan di Kepong. FOTO Ihsan KPDNHEP
Samadi Ahmad


TIPU pelanggan dengan menjual alat ganti motosikal tiruan untuk meraih keuntungan. Itu kegiatan dilakukan sebuah syarikat di Kepong, Selangor yang diserbu sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Ibu Pejabat Putrajaya, hari ini.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan diadakan hasil maklumat dan risikan diterima daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar alat ganti motosikal tulen.

Menurutnya, siasatan mendapati syarikat itu menggunakan kaedah penjualan alat ganti secara terus kepada pelanggan dan melakukan pemasaran kepada ejen pembekal alat ganti motosikal.

"Hasil pemeriksaan ke atas premis itu menemukan pelbagai alat ganti motosikal disyaki tiruan antaranya cermin sisi, karburetor, timing chain dan clutch disc.

"Kesemua barangan itu dirampas dan seorang suspek warga tempatan yang mengaku sebagai pengarah syarikat diambil keterangan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan RM34,587.80 dan kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Iskandar turut mengingatkan peniaga lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek supaya tidak diambil tindakan undang-undang.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran supaya tidak ditipu.

Orang ramai disarankan agar menyalurkan maklumat dengan melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 8:13 PM