Foto hiasan
Foto hiasan
Sri Ayu Kartika Amri

PELANGGAN domestik (kediaman) Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh melihat perincian manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang diterima bagi April, Mei dan Jun dalam penyata terperinci yang dikeluarkan bulan ini.

Penyata itu akan diterima pelanggan bersama bil Julai dalam masa tujuh hari melalui pos selepas pembacaan meter dibuat.

TNB dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata, pelanggan juga boleh melihat penyata terperinci dan bil terbabit melalui laman web dan aplikasi myTNB selepas 48 jam menerima notis makluman.

"Pembaca meter TNB akan melakukan bacaan Julai di premis pelanggan mulai esok dan pelanggan akan diberi notis makluman bahawa pembacaan dilakukan.

"Pada 20 Jun lalu, kerajaan bersama TNB mengumumkan pemberian BPE sebagai pakej bantuan tambahan kepada semua 7.66 juta pelanggan domestik melalui pembiayaan penggunaan elektrik percuma sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu April, Mei dan Jun.

"Bantuan ini akan dinyatakan dalam bil bacaan sebenar," katanya.

Di samping itu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 601 hingga 900 kWj sebulan akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus iaitu tambahan 8 peratus daripada kadar diskaun sedia ada iaitu sebanyak 2 peratus bermula April hingga September 2020.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai bil, orang ramai boleh hubungi talian TNB CareLine 1-300-88-5454 atau emel ke [email protected] atau kunjungi Kedai Tenaga berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 1:09 PM