MUADZAM terharu dengan berita mengenai BPE. FOTO ROSYAHAIDA ABDULLAH
MUADZAM terharu dengan berita mengenai BPE. FOTO ROSYAHAIDA ABDULLAH
Rosyahaida Abdullah

KUALA LUMPUR: "Syukur kerana diskaun diberi untuk bil elektrik yang perlu saya bayar," kata Muadzam Muhamad, 35.

Penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini menzahirkan terima kasih kepada kerajaan atas Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) Tambahan yang diumumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah semalam.

Menurut Muadzam, dia menyifatkan bil elektrik diterima pada awal bulan ini sebagai agak meragukan.

Ini kerana, selain sentiasa berada di rumah sejak menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana pada 2018, bapa kepada seorang anak ini masih melakukan pembayaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun tidak menerima bil.

"Bil elektrik diterima hampir RM1,000. Apabila membaca berkaitan BPE selain tiada pemotongan bekalan sehingga September, saya rasa gembira. Seolah-olah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tahu isu dilalui rakyat," katanya.

Kelegaan turut dirasai Mohd Faril Mohd Fazli, 33, yang perlu membayar bil elektrik lebih RM1,000.

"Saya tidak pasti berapa diskaun akan diperoleh namun wang lebihan boleh digunakan untuk perbelanjaan lain," katanya.

Hari ini, pada sidang media, Shamsul Anuar memaklumkan yang Muhyiddin meluluskan BPE Tambahan kepada semua pengguna elektrik dalam kategori domestik di Semenanjung.

Katanya, 7.66 juta pengguna terbabit dengan BPE Tambahan dan daripada jumlah itu, empat juta pengguna dikecualikan daripada membayar bil elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 6:28 PM