BANGUNAN Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah
BANGUNAN Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Bangsar. FOTO Asyraf Hamzah
Sri Ayu Kartika Amri


TENAGA Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan pakej bantuan yang merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan kepada 7.5 juta pelanggan kediaman.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, memandangkan pembacaan meter turut ditangguhkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya sedar kebimbangan pelanggan kediaman mengenai kenaikan bil mereka apabila pembacaan meter sebenar dilakukan.

"PBM akan dilaksanakan secara automatik bagi semua pelanggan kediaman bermula daripada bil bulanan sebenar pertama yang diterima selepas TNB menyambung semula operasi pembacaan meter pada 15 Mei (esok).

"Seperti yang sedia maklum, TNB menangguhkan sementara pembacaan meter fizikal dan penyerahan bil di premis pengguna semasa PKP.

"Justeru, pengebilan dilakukan mengikut bil anggaran berdasarkan jumlah bil sebelumnya," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

DATUK Seri Amir Hamzah Azizan. FOTO NSTP
DATUK Seri Amir Hamzah Azizan. FOTO NSTP

Menurutnya, bil anggaran boleh didapati menerusi saluran digital TNB seperti portal dan aplikasi myTNB serta perbankan internet sekiranya bil TNB didaftar sebagai pembayar.

Operasi pembacaan meter dan penyerahan bil akan kembali dilakukan bermula esok di negeri zon hijau iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak (kecuali Sri Manjung) dan Kelantan.

Pelanggan akan beransur-ansur menerima bil sebenar yang diselaraskan mengikut bil anggaran lalu bagi mendapatkan penggunaan sebenar mereka.

"Apabila pelanggan menerima bil bulanan sebenar pertama, mereka mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran penuh atau mengikut jumlah PBM.

"Maklumat pembayaran akan dipaparkan di dalam kotak berwarna kuning pada sudut kanan bahagian atas bil yang diterima," katanya.

Beliau berkata, pakej itu adalah sebagai tambahan kepada diskaun berperingkat berjumlah dua hingga 50 peratus yang TNB tawarkan kepada pelanggan bagi penggunaan elektrik dari 1 April hingga 30 September.

Ia adalah satu daripada usaha TNB untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Penangguhan surcaj lewat bayar adalah sehingga 30 September manakala penangguhan aktiviti pemotongan bekalan adalah sehingga 31 Julai.

"Semua ini adalah sumbangan TNB yang diharapkan dapat membantu pelanggan menyesuaikan diri kepada norma baru dan memudahkan pengurusan kewangan mereka," katanya.

Bagi maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari atau emel kepada [email protected].

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 5:33 PM