Yusmizal Dolah Aling

PASAR Borong Kuala Lumpur yang baharu dijangka siap menjelang akhir tahun depan dan akan mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada peniaga dan orang ramai.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, ia termasuk dalam perancangan kerajaan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menambah baik kawasan pasar borong yang membekalkan bekalan harian ke seluruh Lembah Klang itu.

Menurutnya, DBKL dalam peringkat akhir untuk menyiapkan pelan tindakan untuk membangunkan pasar borong yang lebih baik dan sesuai untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

"Ia termasuk penggunaan teknologi terkini, penggunaan mekanisme yang lebih banyak supaya tidak perlu menggunakan tenaga buruh, jentera dan petak jualan yang lebih baik.

"Kita sedang melihat model pasar borong di Jepun, Korea dan beberapa negara yang lebih maju supaya Kuala Lumpur mempunyai pasar borong yang moden," katanya ketika membuat lawatan sekitar pasar borong berkenaan hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Menurutnya, pihaknya ketika ini juga memutuskan kadar sewa kepada peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur kekal untuk tiga tahun akan datang bagi membantu mereka mencari pendapatan dan memajukan kawasan sekitar.

Katanya, beliau berpuas hati dengan keadaan di situ yang kini bersih daripada kebanjiran warga asing yang menjadi isu sejak sekian lama.

"Saya dapati pasar borong hari ini bersih daripada pekerja asing. Saya juga dapat maklum balas daripada peniaga yang lebih suka dengan pekerja tempatan.

"Ada yang menyebut kalau dulu mereka menghadapi masalah kecurian, hilang barang, sekarang tidak lagi.

"Jadi kita harap peniaga terus menggunakan pekerja tempatan dan tiada pekerja asing. Kementerian Wilayah akan mudahkan proses berkaitan termasuk menyediakan asrama kepada pekerja," katanya.

Annuar ketika melawat Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini. Foto Fathil Asri
Annuar ketika melawat Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini. Foto Fathil Asri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 1:00 PM