Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pangsapuri milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan persendirian yang berusia lebih 40 tahun akan dirobohkan serta dibina semula bagi memberi keselesaan kepada penghuni.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementeriannya membuat satu dasar dan dipersetujui di peringkat DBKL supaya rumah awam dan persendirian yang tidak sesuai diduduki akan menjalani program 'Urban Renewal'.

Menurutnya, satu garis panduan lengkap bagi memperincikan perkara itu sudah disediakan oleh DBKL dan mendapat kelulusan jawatankuasa eksekutif peringkat kementerian.

"Kawasan yang kita anggap sudah usang dan sesak akan dibangunkan semula mengikut garis panduan ditetapkan.

"Bagi rumah persendirian juga akan dibina semula selepas mendapat persetujuan penduduk di mana misalnya 80 peratus sudah bersetuju manakala bakinya tidak dapat mencari pemilik asal kita akan menggunakan kaedah pengambilan balik secara strata kerana jumlah yang sedikit itu tidak menghalang rancangan membangunkan semula kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan penduduk yang dilaporkan dalam keadaan daif di Blok C Flat Taman Segar Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar Cheras, hari ini.

Annuar meninjau flat Persiaran Lemak Taman Segar pada majlis penyerahan pelitup muka dan keperluan asas. FOTO Saifullizan Tamadi
Annuar meninjau flat Persiaran Lemak Taman Segar pada majlis penyerahan pelitup muka dan keperluan asas. FOTO Saifullizan Tamadi

Annuar berkata, rumah baharu yang dibina itu berkeluasan sekitar 70 ke 74 meter persegi dengan tiga bilik bersama segala kemudahan dengan harapan dapat memberi kelegaan kepada pemilik asal.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas pihak menyalahgunakan kuasa bagi meluluskan lesen perniagaan kepada warga asing, termasuk dengan memanjangkan perbuatan mereka itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Dasar ditetapkan kerajaan sebelum ini sudah menegaskan bahawa warga asing tidak dibenarkan memiliki lesen perniagaan, sama ada di tapak sementara Pasar Borong Harian Selayang atau pasar tani berhampiran," katanya.


Beliau berkata demikian mengulas laporan media berkaitan 'kemasukan' pendatang asing berkenaan untuk berniaga diuruskan orang dalam daripada persatuan peniaga tertentu yang mengenakan bayaran jauh lebih tinggi berbanding hanya lebih RM900 setahun dikenakan DBKL untuk peniaga tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 1:52 PM