GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 10 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini dengan 8,616 kes positif keseluruhan direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 10 kes baharu dilaporkan itu membabitkan empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan seorang warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara yang merupakan pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

Beliau berkata, daripada enam kes penularan di dalam negara, empat kes adalah di kalangan warganegara dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia.

"Terdapat 14 kes pulih dan dibenarkan discaj daripada hospital menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 terus meningkat kepada 8,308 kes dengan kadar kesembuhan 96.4 peratus.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 187 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah kekal 121 kes iaitu 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 5:53 PM