Isma Ismail dan Amir Abd Hamid


PERTAMA kali kes aktif jangkitan Covid-19 mencatatkan jumlah di bawah 200 kes apabila hanya sebanyak 191 kes dilaporkan pada hari ini.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu juga dicatatkan pada satu angka untuk empat hari berturut-turut.

Menurutnya, sebanyak enam kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini membabitkan lima kes import yang mendapat jangkitan daripada luar negara iaitu dari Singapura, Russia, United Kingdom dan Thailand.

Katanya, ia membabitkan empat warga Malaysia dan seorang bukan warganegara.

"Terdapat 23 kes pulih dan dibenarkan discaj dari hospital yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih terus meningkat kepada 8,294 kes dengan kadar kesembuhan 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya ketika sidang media di Putrajaya dekat Kuala Lumpur hari ini.

Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
Dr Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP

Dr Noor Hisham berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 191 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital.

"Sehingga kini, sebanyak dua kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini, ia adalah paling rendah yang dicatatkan di seluruh dunia berbanding kes positif Covid-19 apabila mencatatkan 1.4 peratus," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 5:20 PM