GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEBELAS kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini sekali gus merekodkan 9,317 kes positif keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 11 kes baharu itu, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan enam warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

Beliau berkata, kes import itu membabitkan mereka yang baru pulang dari India (tujuh kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu kes di Selangor) dan masing-masing satu kes dari Qatar dan Indonesia.

"Satu kes penularan di dalam negara pula membabitkan warganegara Malaysia.

"Kes warganegara dikesan di Sarawak adalah daripada saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak.

"Sehubungan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 154 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Terdapat lapan kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 9,038 kes.

"Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 125 kes iaitu 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 5:19 PM